Imam Ahmad dalam Musnadnya meriwayatkan daripada Abu al-Darda’ RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Allah SWT menciptakan Adam dan ketika menciptakannya. Allah memukul bahu sebelah kanannya, maka keluarlah anak cucunya yang berwarna putih. Mereka seperti butiran-butiran mutiara.

Allah memukul bahu kiri pula, maka keluarlah anak cucunya yang berwarna hitam. Mereka seperti abu dapur atau arang. Allah SWT berfirman kepada orang yang berada di sebelah kanannya: ‘Pergilah ke syurga. Aku tidak peduli.’ Dikatakan pula kepada orang yang berada di bahagian bahu sebelah kiri: ‘Pergilah ke neraka. Aku tidak peduli.’”

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan ketika Tuhanmu membentuk keturunan Adam daripada sulbi mereka, dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka: ‘Bukankah Aku ini Tuhanmu?’ Mereka menjawab: ‘Ya, Engkau Tuhan kami.” (Al A’raf 7:172)

Umar bin al-Khattab RA berkata bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah SAW memberi jawapan ketika ditanya mengenai masalah itu. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT telah mengusap belakangnya. Dari situ telah keluarlah anak cucunya. Allah SWT berfirman: ‘Aku ciptakan mereka untuk masuk neraka. Mereka berbuat sesuatu mengikut pekerjaan para penghuni neraka.’”

Seseorang bertanya: ‘Amal perbuatan bagaimana wahai Rasulullah?’

Baginda SAW menjawab: ‘Apabila Allah menciptakan seseorang (ditetapkan) masuk syurga, maka dia akan berbuat sesuai dengan apa yang dilakukan oleh para penghuni syurga sehingga dia mati, dia akan berbuat seperti perbuatan ahli syurga.

Apabila Allah menciptakan seseorang (ditetapkan) masuk neraka, maka dia akan mengerjakan perbuatan yang dilakukan oleh para penghuni neraka sehingga dia mati, dia masih berbuat seperti perbuatan yang dilakukan ahli neraka. Dengan amal perbuatan itu dia akan masuk neraka.’


Syurga Adam

Ulama’ berbeda pendapat mengenai syurga yang menjadi tempat tinggal Nabi Adam AS bersama isterinya, sama ada berada di langit atau bumi. Namun menurut jumhur ulama’. Kewujudan syurga yang dimaksudkan dalam beberapa ayat tersebut berada di langit. Ia disebut sebagai Jannah al-Ma’wa.

Allah SWT berfirman dalam surah al-A'raf ayat 19 yang bermaksud: “Wahai Adam, tinggallah kamu bersama isterimu dan makanlah makanan apa-apa sahaja di sana yang kamu sukai tetapi (ingatlah), jangan sekali-sekali kamu mendekati pohon ini kerana akan menyebabkan kamu menjadi golongan yang zalim (menganiayai diri sendiri).”

Dalam ayat 117 hingga 119 surah Taha pula, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka Kami berfirman: ‘Wahai Adam, sesungguhnya iblis ini musuh bagi kamu dan isterimu. Oleh sebab itu janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga karena yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita. Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahwa engkau tidak akan lapar di dalam syurga itu dan tidak akan telanjang. Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga di dalam syurga dan tidak akan merasa panas matahari.’”


Janji Iblis


Apabila Allah SWT melaknat iblis (Azazil) disebabkan mendurhakai Allah SWT, maka ia diusir dari syurga sebagaimana firman-Nya dalam surah al-A'raf ayat 13 yang bermaksud,

“Allah berfirman: ‘Turunlah kamu dari syurga itu kerana kamu tidak sepatutnya menyombong diri di dalamnya, maka keluarlah. Sesungguhnya kamu termasuk orang yang hina.’”

Ketika itulah makhluk terlaknat tersebut menyedari dan meminta penangguhan sehingga hari pembalasan. Lalu iblis berkata sebagaimana yang disebut dalam ayat 14 surah al-A'raf, mafhum firman Allah SWT: “Iblis berkata: ‘Berilah saya tangguh sehigga waktu mereka dibangkitkan.’”

Lalu Allah SWT menerima permintaan iblis sebagaimana yang disebut dalam ayat berikutnya: “Allah berfirman: ‘Sesungguhnya kamu termasuk orang yang diberi tangguh.’”

Apabila permintaan iblis diterima, maka ia mula melakukan penentangan dan bertindak membinasakan Adam agar melakukan kederhakaan.

Sebagaimana yang diterangkan dalam ayat 16 dan 17 surah al-A'raf yang bermaksud: “Iblis menjawab: ‘Karena Engkau (wahai Tuhan) telah menghukumnya tersesat. Sesungguhnya aku akan menghalang mereka dari jalan-Mu yang lurus (yaitu jalan kebenaran dan keselamatan). Kemudian aku mendatangi mereka dari belakang mereka, dari kanan serta kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.”

Maksudnya iblis berazam akan berusaha dengan segala cara untuk menyesatkan Adam dan keturunannya agar mereka tidak menyembah dan tidak mentauhidkan Allah SWT. Antara cara yang digunakan iblis adalah dengan menampakkan kebatilan itu sebagai sesuatu yang indah, sebagaimana yang ia lakukan kepada Adam dan Hawa, sehingga mereka melanggar arahan Allah SWT agar tidak memakan buah dari pohon larangan.



Ingin Hidup Kekal Di Dalam Syurga
Iblis yang dengki terhadap Adam tidak menyenangi Adam dan Hawa terus-menerus berada di dalam kenikmatan syurga. Maka, ia berusaha menghasut Adam agar melanggar perintah Allah SWT, iaitu tidak menghampiri pohon larangan. Iblis menabur bunga-bunga indah ke dalam hati Adam dengan mendakwa larangan Allah itu semata-mata tidak mahu mereka terus kekal di dalam syurga dan menjadi seperti malaikat.

Akhirnya Adam dan Hawa termakan hasutan iblis hingga tersilap langkah, sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran pada ayat 120 dan 121 surah Taha yang bermaksud: “Setelah itu syaitan membisikkan (menghasut) kepadanya, dengan berkata: ‘Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?’

Kemudian mereka berdua makan daripada pohon itu, lalu terdedahlah aurat masing-masing, dan mereka mulai menutupnya dengan daun-daun dari syurga. Dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (daripada mencapai hajatnya untuk hidup kekal).”

Dalam surah al-A'raf ayat 20 hingga 22, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Setelah itu Iblis membisikkan (menghasut) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup daripada (pandangan) mereka, sambil ia berkata: ‘Tuhan kamu tidaklah melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga).’

Dan ia (iblis) bersumpah kepada kedua-duanya (dengan berkata): ‘Sesungguhnya aku adalah daripada mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.’

Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah aurat masing-masing dan mereka mula menutupnya dengan daun-daun (dari) syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: ‘Bukankah Aku telah melarang kamu berdua daripada pohon itu, dan Aku katakan kepada kamu, syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata.’”

Wallahua'lam.