Berikut adalah merupakan Syair 14 rangkap yang dicipta oleh al Marhum Imam Hj Ishaq bin Muhammad Arif ar-Rawi bersumber pada penerbitan buku yang diterjemahkan daripada kitab arab berjudul "Tanwirul Qulub" karya Syeikh Muhammad Amin al Kurdi. 

Terjemahan oleh Shaikh Dr Hj Jahid bin Hj Sidek al-Khalidi tersebut diberikan Judul "Dhia'ul Iman Fi Tariqi Rahman" atau "Membentuk Jiwa Sufi" (Cetakan terbaru).

Syair ini menyatakan sejarah bagaimana gelaran al Khalidi yang dianugerahkan oleh al Marhum Tuan Guru kepada Shaikh Dr Hj Jahid bin Hj Sidek al-Khalidi. 

Marilah bersama-sama kita renungi intisati dan kandungan penting daripada syair seperti di bawah ini:


Bacalah Kitab Dhia’ul Iman
Jalan Makrifah Kepada Ar Rahman
Dijadikan Dia Sebagai Pedoman
Di Situlah Tempat Mengambil Fahaman

Suatu Tarekat di dalam Islam
Ajaran Nabi ‘Alaihissalam
Amalkan Dia Siang dan Malam
Supaya Bercahaya Hati Yang Kelam

Amalan Tarekat Amalan Nabi
Amalan Yang Disuruh Oleh Ilahi
Amalkan Dia Sepanjang Hari
Jangan Dibantah Jangan Diingkari

Tarekat Ini Amalan Yang Suci
Amalan Untuk Menjaga Hati
Amalan Yang Diamalkan Oleh Nabi
Amalkan Dia Sepanjang Hari

Amalkanlah Berzikrullah
Supaya Ingat Kepada Allah
Kerjakan Suruh Jauhkan Tegah
Hukuman Tuhan Jangan Disanggah

Kepada Allah bila sudah lupa
Pekerjaan Yang Jahat Disangka Tak Apa
Syaitan Pun Segera Datang Menerpa
Masuk Ke Dalam Jantung Dan Limpa

Wahai Saudara Wahai Saudari
Amalkan Zikrullah Setiap Hari
Kerjakan Dengan Qasad Yang Suci
Kerana Menuntut Keredhaan Illahi

Wahai Handai Taulan Sebaya
Baik Miskin ataupun Kaya
Amalan Tarekat Amalan Yang Mulia
Mengukuhkan Iman Menguatkan Percaya

Wahai Adik, Kakak dan Saudara
Amalan Tarekat Sangat Berharga
Jangan Saudara Menjahatkan Sangka
Mengatakan Amalan yang direka-reka

Amalan Tarekat Disuruh Illahi
Amalan Yang Dibawa Oleh Nabi
Amalkan Dia Petang Dan Pagi
Supaya Jangan Mendapat Rugi

Barangsiapa meringankannya
Tidak percaya akan Amalannya
Sangatlah buruk akibat padahnya
Di Hari Akhirat Sangatlah Ruginya

Saya Bersyukur Kepada Allah
Amalan Tarekat Telah Nyatalah
Amalan Yang Dibawa Oleh Rasulullah
Jangan Sekali Diingkar Disalah

Tanwirul Qulub Kitab Terpuji
Susunan Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi
Diterjemahkan Kepada Bahasa Melayu
Oleh USTAD JAHID AL KHALIDI

Tamatlah Syair Tamatlah Kalam
Dengan Kehendak Khaliqul Alam
Berkat Nabi Alaihi Salam
Buat Peringatan Siang Dan Malam